Seorang pemuda yang sedang berada di tahun akhir pengajiannya mengharapkan sebuah kereta sport daripada ayahnya. Lantas, si pemuda memberitahu hajatnya kepada ayahnya, seorang hartawan yang ternama. Si ayah hanya tersenyum manakala si anak bertambah yakin, andai keputusan peperiksaannya begitu cemerlang, pasti kereta itu akan menjadi miliknya.
Beberapa bulan berlalu ternyata si anak dengan berkat kesungguhannya, dia telah beroleh kejayaan yang cukup cemerlang. Hatinya berbunga keriangan.
Satu hari,si ayah memanggil si anak ke bilik bacaannya. Si ayah memuji anaknya sambil menyatakan betapa bangga hati seorang bapa sepertinya dengan kejayaan si anak yang cukup cemerlang dan si anak tersenyum puas. Di ruang matanya terbayang kilauan kereta sport merah yang selama ini menjadi idamannya itu.
Si ayah yang bagaikan mengerti kehendak si anak lalu menghulurkan sebuah kotak yang berbungkus rapi dan cantik. Si anak terkesima sungguh, bukan itu yang kuhajatkan. Dengan hati yang berat kotak itu bertukar tangan, matanya terarah kepada riak wajah ayahnya yang tidak menunjukkan sebarang perubahan seolah-olah tidak dapat membaca tanda tanya yang bersarang dihatinya. Dalam pada itu, si anak masih membuka pembalut yang membungkus kotak itu. Penutup kotak dibuka.Apa makna semua ini??? sebuah Al-Quran kecil dan comel dengan cover kulit tinta emas menghiasi tulisan khat di muka hadapan. Si anak memandang ayahnya terasa dirinya dipermainkan. Amarahnya membuak dan nafsu mudanya bergelojak. Ayah sengaja mempermainkan saya, ayah bukannya tak tahu betapa saya menyukai kereta itu. Bukannya ayah tak mampu untuk membelikannya. Sudah ayah, bukan Al-Quran ni yang saya nak katanya keras. Al-quran itu dihempaskan keatas meja bacaan, si anak terus meninggalkan si ayah tanpa memberi walau sesaat untuk si ayah bersuara. Pakaiannya disumbatkan ke dalam beg.Lantas, dia meninggalkan banglo mewah ayahnya. Memulakan kehidupan baru dengan sekeping ijazah yang dimilikinya.
10 tahun berlalu si anak kini merupakan seorang yang berharta dan mempunyai syarikat sendiri serta isteri yang cantik dan anak-anak yang sihat serta cukup membahagiakan. Namun hatinya tersentuh, sudah 10 tahun sejak peristiwa itu dia tidak pernah menjenguk ayahnya.Sedang dia berkira2 sendiri, telefonnya berdering.Panggilan dari peguam ayahnya dan mendapat berita bahawa ayahnya meninggal dunia semalam dan mewariskan semua hartanya kepada si anak. Si anak diminta pulang untuk menyelesaikan segala yang berkaitan perwarisan harta. Dan buat pertama kalinya setelah dia bergelar bapa,si anak pulang ke banglo ayahnya sambil memerhatikan banglo yang menyimpan 1001 nostalgia dlm hidupnya, hatinya sebak.
Bertambah sebak apabila mendapati diatas meja di bilik bacaan ayahnya lalu terpandang Al-quran yang dihempaskannya dahulu, masih lagi setia berada disitu bagaikan setia hati seorang ayah mengharapkan kepulangannya selama ini. Perlahan2 langkahnya menuju ke situ dan mengambil al-quran itu. Sedang membelek-belek dengan penuh keharuan,tiba-tiba jatuh sesuatu dari Al-quran itu segugus kunci di muka belakang Al-quran serta sebuah sampul surat. Ternyata diselotepkan disitu Kunci itu segera dipungut sambil hatinya tertanya-tanya. Nyata sekali di dalam sampul surat itu terdapat resit pembelian kereta idamannya dibeli pada hari konvokesyennya.Dengan bayaran yang telah dilunaskan oleh si ayah dan sepucuk warkah tulisan tangan orang yang amat dikenalinya selama ini. Surat yang bertulis : Hadiah teristimewa untuk putera kesayanganku. Air mata si anak menitis deras, hatinya bagai ditusuk sembilu. Penyesalan mula bertandang. Namun semuanya sudah terlambat.
Sekadar renungan bersama: berapa banyak kita melupakan nikmat Allah, hanya semata-mata kerana nikmat itu tidak "dibungkus", didatangkan atau diberi dalam keadaan yang kita hajati......