1.0 PENGENALAN
Dari jumlah 2.798 ribu penduduk warganegara Malaysia di Sabah, komuniti Kadazandusun (343.4 ribu @ 24.6%) dan Murut (53.9 ribu @ 3.9%) (KDM) adalah kumpulan etnik anak negeri yang terbesar di Sabah, iaitu 28.5%.(Banci penduduk dan perumahan Malaysia 1991, jadual 2.12). Lebih daripada 2/3 (atau 70%) daripadanya tinggal di luar bandar dan kebanyakannya mengusahakan pertanian saradiri.
Terikat dengan amalan-amalan perladangan desa dan budaya-budaya tradisional, mereka seringkali kelam-kabut dalam menentukan budaya yang berorientasikan wang ataupun nilai-nilai budaya; antara kebebasan bekerja berperaturan sendiri ataupun mematuhi peraturan-peraturan atau keperluan kerajaan moden. Namun demikian, mereka perlu berubah dan menyesuaikan diri dengan realiti sistem ekonomi dan politik dunia moden.
Mereka tidak mempunyai pilihan yang lebih baik. Sejak Sabah mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia, masyarakat KDM telah cuba untuk berubah dan menyesuaikan diri. Terdapat peluang bagi mereka untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam proses transfomasi dan pembentukan negara bangsa Malaysia.
Senerio agak berbeza sejak itu. Pemimpin KDM seperti Tun Fuad Stephens, Datuk G.S Sundang dan Datuk Peter Mojuntin telah berjuang untuk nasib generasi kini dan telah menunjukkan kepada kita keperihatinan mereka kepada orang-orang kita dan rakyat Sabah secara keseluruhannya. Ada di antara mereka benar-benar telah berkorban demi orang kita. Mereka telah mati untuk kita.
Pada hari ini, peranan dan status komuniti KDM adalah tidak tentu arah. Pemimpin-pemimpin kita bercerai-berai dalam politik. Tiada seorangpun di antara kita yang benar-benar tahu arah tuju masyarakat kita. KDM dalam kerajaan (kakitangan kerajaan KDM) telah ditukarkan ke jawatan yang tidak penting, diturunkan pangkat ataupun didiskriminasikan(1). Pemimpin-pemimpin KDM berselisih faham sesama sendiri dan saling kecam-mengecam di antara satu dengan lain.
Dalam pada itu, komuniti KDM kekal termundur di antara yang mundur dengan harapan untuk melepasi garisan kemiskinan adalah tipis. (lihat jadual 3.6 1984, 1987). Dalam masa yang sama, status Sabah sebagai sebuah negeri yang merdeka dalam Malaysia sedang diubah berikutan dengan pindaan undang-undang untuk memindahkan kuasa-kuasa Ketua Menteri dalam hal-hal tanah, perhutanan, galian dan Yayasan Sabah kepada Kabinet dan TYT.
Hasrat untuk menghapuskan Perjanjian 20 perkara dan penurunan status Sabah di dalam persekutuan menjadi negeri No. 12 atau 13 Malaya masih mengambang-ambang kita. Tambahan pula, bilangan pendatang tanpa izin(PTI) dari negara-negara jiran semakin banyak dan jumlah mereka mengatasi kita(Rujuk rajah 2.2), yang mana dengan sekelip mata sahaja mereka telah memiliki kad pengenalan biru dan hak kewarganegaraan. Dalam hal ini, orang bertanya; apakah yang akan berlaku selepas ini? Dimanakah arah tuju kita secara politik dan ekonomi?
Inilah sedikit sebanyak persoalan dan kekhuatiran kita. Kita perlu menangani isu-isu ini dengan cepat sekiranya kita mahu masa depan kita terjamin di negara ini. Kita mesti bertindak. Kita mesti berkomunikasi. Kita mesti tentukan satu wawasan bersama untuk masa depan kita semua dan membentuk mekanisma-mekanisma untuk merealisasi visi ini.
Kertas kerja ini disediakan untuk Bengkel KDI, bertujuan hanya untuk membawa message kekhuatiran ini sebagai landasan untuk menentukan arah tuju masyarakat KDM.
(1) Ramai Pengurus Yayasan Sabah telah dilucut dari jawatan dan dijadikan Consultant tanpa peranan tertentu. Terdapat Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan dari KDM dan Pegawai-Pegawai Daerah telah diturunkan pangkat dan digantikan dengan pegawai-pegawai baru - bukan daripada KDM
2.0 KEADAAN MASA KINI
Kebanyakan orang, khususnya komuniti KDM, tidak senang hati tentang situasi ekonomi dan politik sekarang. Kenapa ? Sebab-sebabnya ialah:
a) Kita melihat masa depan yang suram.
b) Kita (KDM) tidak memainkan apa-apa peranan penting pada masa kini; bukan pengawal keadaan.
c) Kita(KDM) tidak menerima faedah daripada keadaan sekarang.
d) Kita dibeza-bezakan dan tidak dilayan dengan adil dari segi pelantikan dan perwakilan di dalam kabinet, perkhidmatan awam, badan berkanun dsb, seperti berikut; (Setakat Mei,1996).
Perwakilan Kabinet
Bumiputera Islam 5(4 UMNO, 1 AKAR) Bumiputera Bukan Islam 3(2 PDS,1 PBRS) Cina 3(Semua SAPP) Jumlah 11
Perwakilan dalam Perkhidmatan Awam
a) Setiausaha Tetap Bumiputera Islam 7 Bumiputera Bukan Islam 3 Cina 1 Jumlah 11
b) Badan Berkanun & Agensi Kerajaan (termasuk Majlis Perbandaran) Bumiputera Islam 13 Bumiputera Bukan Islam 2 Cina 4 JUMLAH 19
c) Perlantikan Pegawai Daerah Bumiputera Islam 15 Bumiputera Bukan Islam (Termasuk seorang Sino-Kadazandusun) 4 Cina 1 Jumlah 20
Dewan Undangan Negeri
UMNO Dipilih 22 Dilantik 2 PDS 11
AKAR 3
SAPP 5
MCA 1
GERAKAN 1
JUMLAH BN 43 2 BEBAS 1 2 PBS 4 2 JUMLAH 48 6
2.1 KEADAAN POLITIK
KDM bercerai-berai dari segi politik. Terlalu banyak parti- parti politik yang dipimpin oleh KDM. Contohnya;
1) PBS -Diketuai oleh Datuk Joseph Pairin Kitingan
2) PDS -Diketuai oleh Datuk Bernard G. Dompok.
3) AKAR - Diketuai oleh Datuk Mark Koding
4) PBRS -Diketuai Datuk Joseph Kurup
5) Bebas -Diketuai oleh Datuk Dr. Jeffrey Kitingan
Setiap parti dan pemimpinnya menganjurkan nasionalisma KDM dan mendakwa memperjuangkan untuk kepentingan masyarakat KDM, namun tiada satupun parti ini yang berjuang khusus untuk KDM kerana mereka kesemuanya parti berbilang kaum. Jika pemimpin-pemimpin ini dapat melihat keperluan untuk perpaduan komuniti KDM, sudah tentu KDM adalah kuat dari segi politik. Jika KDM mempunyai kekuatan dari segi politik, mereka boleh memainkan peranan yang penting dalam kerajaan.
Lampiran 1-V menunjukkan keadaan politik di Sabah dan bagaimana perjalanan masyarakat KDM sepanjang masa sejak merdeka. Dari segi sejarah politik kita yang ringkas, hal-hal berikut boleh diambil kira:
1. Dua pemimpin masyarakat KDM - Tun Fuad Donald Stephen & Datuk G.S Sundang memainkan peranan besar dalam pembentukan Malaysia.
2. G.S Sundang telah berpandangan jauh dengan menegaskan bahawa Sabah mestilah terlebih dahulu mencapai kemerdekaan (membentuk kerajaan sendiri) sebelum menyertai Projek Malaysia.
3. Tun Fuad Stephen dianggap sebagai ketua keseluruhan pasukan Sabah kerana kefasihannya bercakap dan kemahiran untuk berunding.
4. Parti-parti politik, sejak dari mula, adalah berasaskan kaum. UNKO dan Pasok Momogun (NPMO) untuk masyarakat KDM, USNO untuk masyarakat melayu/Islam dan SUP (Sabah United Parti) dan DP (Democratic Parti) adalah untuk masyarakat Cina. UNKO dan Pasok Momogun kemudiannya bergabung untuk membentuk UPKO (United Pasok Kadazan Organization). Begitu juga dengan SUP dan DP, bergabung menjadi SCA (Sabah Chinese Association).
5. Justeru itu, pada asasnya, terdapat tiga kumpulan parti politik perkauman yang penting iaitu:
UPKO untuk KDM USNO untuk Melayu/Muslim dan SCA untuk Cina
6. Pada pilihanraya negeri Sabah yang pertama, 1967:
UPKO menang 12 kerusi USNO menang 14 kerusi SCA menang 5 kerusi BEBAS menang 1 kerusi
7. Kaum Cina telah menjadi kuasa pengimbang, malah hingga ke hari ini. Pada tahun 1967, masyarakat Cina melalui SCA telah menjadi King Maker di mana mereka telah begabung dengan USNO untuk membentuk kerajaan. Kerajaan USNO-SCA itu tidak memasukkan KDM.
8. UPKO menjadi pembangkang.
9. Menyedari bahaya SCA sebagai King Maker, Tun Mustapha dan Tun Fuad Stephens telah mencuba untuk menyatu-padukan bumiputera dengan membubarkan UPKO dan menyertai USNO sebagai jentera politik untuk semua bumiputera di Sabah.
10. Ramai dari UPKO tidak bersetuju dengan keputusan ini dan menubuhkan parti-parti politik lain seperti;
a) USAP (United Sabah Action Party) b) USAPP (United of Sabah People's Party)
11. Tun Mustapha kemudiannya menjadi diktaktor; kebebasan politik hilang. USNO-SCA dikalahkan oleh BERJAYA pada tahun 1976.
BERJAYA DAN DATUK HARIS
12. Berjaya telah ditubuh dengan restu dan sokongan Kuala Lumpur. Tujuannya ialah untuk mencabar dan menjatuhkan kerajaan USNO-SCA (Tun Mustapha).
Pilihanraya 1976 Berjaya - 28 Kerusi USNO-SCA - 20 kerusi
13. Belumpun sampai enam bulan pemerintahan kerajaan BERJAYA, tragedi 6/6/76 menimpa. Beberapa pemimpin KDM, termasuk Ketua Menteri Tun Fuad Stephens, Datuk Peter Mojuntin dan Darius Binion telah terkorban dalam nahas kapalterbang itu.
14. Harris Salleh mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Ketua Menteri dan memperkenalkan pembangunan tetapi akhirnya menjadi kuku besi. Beliau juga mendiskriminasikan dan menindas masyarakat KDM yang akhirnya tidak berpuashati.
15. PBS lahir kerana rakyat muak dengan kerajaan BERJAYA. Walaupun berbilang kaum tetapi PBS diketuai oleh pemimpin KDM. PBS juga mendapat sokongan ramai.
PBS DAN DATUK JOSEPH PAIRIN KTINGAN
16. Era PBS dianggap sebagai era masyarakat KDM. Dengan sokongan rakyat, PBS telah menang tiga pilihanraya negeri berturut-turut;
PBS USNO BERJAYA PASOK
1985 25 16 6 1 1986 35 12 1 - 1990 36 12 0 1 1994 25 0 0 0 ....23 (BN)
17. Malangnya hubungan KL-KK tidak baik. Kepimpinan Sabah yang baru dan kekalahan BERJAYA tidak dapat diterima oleh KL. KL/Kerajaan Persekutuan campurtangan urusan kerajaan negeri Sabah dan hal ehwal politik. Ini ditentang oleh pemimpin-pemimpin PBS.
18. Perjanjian 20 Perkara telah dibangkitkan. PBS dituduh pula sebagai Anti-Federal/Anti - Malaysia.
19. Agensi-agensi Pusat - BPR, JHDN, ISA telah digerakkan untuk menggangu dan menjatuhkan pemimpin-pemimpin PBS.
20. PBS keluar dari Barisan Nasional(BN)
Datuk Dr. Jeffrey Kitingan- ditahan ISA Dr. Maximus Ongkili - ditahan ISA Datuk Pairin - ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah
UMNO masuk ke Sabah. Senario Politik baru timbul di Sabah.
21. Pemimpin-pemimpin PBS cuba mencari jalan penyelesaian.
SELEPAS PBS : KERAJAAN BN (1994)
22. Pemimpin KDM masing-masing mencari jalan untuk penyelesaian.
23. Masyarakat KDM dan pemimpin-pemimpinnya terpecah dari segi politik (lihat lampiran v)
Sepertimana yang dapat dilihat dari perkembangan politik Sabah, jatuh bangunnya kerajaan negeri Sabah adalah ditentukan oleh dua faktor utama: a) Peranan yang dimainkan oleh Kerajaan Pusat. b) Sokongan rakyat.
Nota; Lihatlah Kerajaan USNO, BERJAYA & PBS
Justeru itu, untuk kekal dalam kuasa, sesuatu parti politik mesti mendapat sokongan rakyat dan juga restu dari Kerajaan Pusat.(Lihat Figure 1)
2.2 KEADAAN SOSIO EKONOMI
a) Kita tidak senang hati kerana kita masih golongan yang termiskin.(Jadual 3.7)
b) Penglibatan kita dalam sektor-sektor komersial dan industri adalah sangat sedikit.(Jadual 9.5)
c) Kita tiada pemimpin-pemimpin korporat apatah lagi memiliki syarikat-syarikat yang tersenarai dalam BSKL.
d) Kita hanya mempunyai sedikit kontraktor yang berkelayakan dan aktif.(Senarai sedang dikemaskini)
e) Kebanyakan kedai-kedai milik KDM diuruskan/digunakan oleh bukan bumiputera (contoh; statistik di Keningau).
f) Kita terlalu bergantung kepada orang lain
g) Orang lain bertambah kaya, kita bertambah miskin
h) DEB dan dasar pembangunan Nasional tidak memberi manfaat kepada KDM.
Apabila kedudukan politik Melayu tergugat pada tahun 1969 dan pemimpin-pemimpin Melayu menyedari tentang kedudukan ekonomi dan politik Melayu, mereka telah melakukan sesuatu untuk itu.
Mereka telah memperkenalkan DEB yang memberi banyak kebaikan dan manfaat kepada bumiputera, termasuklah masyarakat KDM, tetapi apa yang berlaku di Sabah?
Orang kita pernah berkuasa dalam Kerajaan. Malangnya kita gagal memanfaatkan dasar-dasar dan program-program khas itu.
# Sebahagiannya disebabkan oleh kegagalan kita untuk berhubungan dengan pemimpin-pemimpin persekutuan dan agensi-agensi kerajaan pusat.
# Sebahagiannya disebabkan oleh kedaifan (ignorance) kita sendiri.
# Sebahagiannya disebabkan oleh kurangnya inisiatif.
# Sebahagiannya disebabkan oleh tumpuan pemimpin kita yang keterlaluan terhadap politik dan bukannya ekonomi.
Justeru itu, sementara bumiputera semenanjung bertambah maju dan ramai yang menjadi jutawan, kita masih lagi tertinggal di pinggiran.
Keadaan ekonomi KDM yang lemah membuatkan mereka terdedah, rapuh, bergantung kepada orang lain, terutamannya kerajaan dan ahli-ahli politik yang seterusnya mengeksploitasikan mereka. (Konsep PD - lihat KVI)
2.3 KEADAAN SOSIO - BUDAYA
Kita juga sedang kehilangan banyak warisan budaya termasuklah identiti budaya kita sendiri. Misalnya; bahasa kita perhatikan betapa sedikit dan ketidakberkesanan penulisan-penulisan masyarakat KDM dalam bahasa mereka sendiri; lihat betapa berkurangan generasi muda kita yang bertutur dalam bahasa ibunda.
Lihat sahaja hutan rimba dan hutan belentara yang selama ini menjadi sumber nenek moyang kita untuk mendapatkan ubat-ubatan, makanan dan sebagainya. Hutan kita telah dicabul oleh orang-orang yang gila wang, dengan bantuan orang-orang kita sendiri.
Jika kita kehilangan hutan dan nenek moyang kita, kita turut kehilangan banyak kebijaksanaan yang boleh diwarisi serta kehilangan kuasa sosial yang boleh menyatu - padukan kita. Warisan murni ini mesti dipelihara. Tindakan agresif mesti diambil untuk memelihara alam sekitar dan menghapuskan pembalakan haram haruslah dibuat. Kita sepatutnya membuat banyak penyelidikan untuk melindungi dan mengembangkan pengetahuan lampau dan memanfaatkanya dari segi komersial.
Jadi, kita tidak senang hati kerana;
a) Kita sedang mengalamai kehilangan identiti budaya, bahasa ibunda dan nilai-nilai budaya.
b) Kita sedang kehilangan warisan kebijaksanaan dari segi mendapatkan ubat-ubatan kerana kemusnahan alam sekitar atau kematian pengamal-pengamal perubatan tradisi.
c) Kita juga dinafikan dari mendapatkan potensi pendapatan daripada warisan budaya kerana kedatangan orang dari negara maju, yang menggunakan pengetahuan saintifik mereka untuk mencuri warisan semulajadi daripada kita tanpa bayaran.
RENUNGAN DIRI
Apabila kita renung diri kita sendiri, kita akan mula memahami siapa diri kita sebenarnya pada saat ini. Keadaan-keadaan ini memerlukan penelitian lebih mendalam tentang diri kita sendiri sebagai satu masyarakat, supaya kita boleh mengatasi masalah-masalah perpecahan politik dan kemunduran ekonomi.
Apakah sebab-sebab berlakunya keadaan itu? Bagaimana kita boleh menjadi seperti ini ? Marilah kita periksa dan bincangkan beberapa sebab-musebab timbulnya masalah kita dan seterusnya mencari jalan untuk menaganinya.
3.0 SEBAB-SEBAB PERPECAHAN, HALANGAN-HALANGAN DAN KEMUNDURAN KDM.
Banyak sebab kenapa kita berpecah dari segi politik dan mundur dari segi ekonomi. Halangan-halangan yang jelas ialah; perbezaan pendapat, kurang kemahiran, iri-hati, penting diri sendiri, sementara ada juga yang tertanam dalam diri kita sendiri- sikap negatif sepert; curiga-mencuriga, berdendam, asuhan budaya dan sebagainya.
3.1 KURANG KONSENSUS DAN TIADA WAWASAN BERSAMA
Perbezaan pendapat di kalangan pemimpin-pemimpin kita sebenarnya merupakan salah satu sebab yang utama menyebabkan wujudnya keadaan kita sekarang. Disebabkan oleh ketidak-sefahaman, kita tidak dapat menghasilkan satu wawasan bersama. Sebab-sebab mengapa wujudnya masalah kita sekarang inipun kita tidak bersetuju; apatah lagi dengan visi bersama! Tetapi, pemimpin-pemimpin masyarakat KDM selalu bercakap tentang perkara-perkara yang sama - tanggungjawab bersama, perlunya perpaduan dan kemajuan. Apa sebenarnya yang menyebabkan kita tidak boleh bersetuju - apakah faktor-faktor yang memecah-belahkan kita? Agak banyak...
a) Penting diri sendiri
Sifat terlalu menjaga "kepentingan diri sendiri" di dalam hati setiap insan bergelar pemimpin, seringkali menimbulkan ketidak-setujuan dan pertengkaran. Apabila sikap penting diri sendiri terus berlaku mengatasi kepentingan bersama, maka pendapat seringkkali disampaikan dalam bentuk dan kelakuan yang menuju dan melindungi kepentingan individu sahaja. Kepentingan komuniti dan masyarakat seluruhnya diketepikan. Justeru itu, komuniti kerugian. Hanya orang yang kuat akan selamat dan maju. Rakyat biasa senantiasa diabaikan.
b) Ego dan Kemegahan Mungkin tiada siapa yang mengakui tetapi ego sebenarnya merupakan musuh dalaman yang tergagah. Para pemimpin seringkali berbangga di dalam diri sendiri, oleh itu mereka mahu dihormati lebih daripada pemimpin yang lain. Pemimpin-pemimpin yang mempunyai tahap kemegahan yang kuat atau tinggi berkecenderungan merasa tidak selamat dan sentiasa mengharapkan agar pendapatnya diterima lebih daripada pendapat orang lain. Ia selalu memikirkan bahawa dialah yang selalu betul.
Pemimpin yang egoistik melemahkan semangat orang lain daripada memberi sumbangan. Pemimpin yang bermasalah keegoan yang tinggi hanya menghormati diri mereka sendiri. Mereka selalu enggan melihat mahupun menerima pendapat atau pandangan orang lain. Kebanggan dan kemegahan telah merenggang dan memisahkan perhubungan di kalangan para pemimpin. Jadi, daripada sepatutnya mereka berkumpul dan membincang dengan penuh bersemangat tentang-masalah bersama, mereka sebaliknya menjauhkan diri di antara satu dengan lain dan bercakap dari jauh pula.
c) Kurang Perhubungan Perkara ini adalah faktor lain. Kita kurang membuat perbincangan untuk menjelaskan masalah dan kebimbangan bersama. Kita menjauhkan diri. Biasanya keadaan inilah akibat daripada masalah -masalah yang lampau atau pengalaman yang tidak baik.
3.2 MEMIKIRKAN KESILAPAN-KESILAPAN YANG LAMPAU Kita kerapkali terlalu memikirkan perkara yang lampau. Kita cenderung menyalahkan orang lain keaatas keadaan kita. Kita seringkali menoleh ke belakang dan menghayal atau memikirkan detik-detik kegemilangan kaum kita di masa lampau tetapi kita tidak menggunakan tenaga untuk membuat sesuatu tindakan positif bagi masa depan. Kita terlalu banyak menyimpan perasaan dendam di dalam diri kita. Sikap inilah yang menghalang kita daripada mendapatkan cara pemikiran dan tingkah laku yang diharapkan. Inilah di antara faktor pencetus keadaan kita pada masa ini.
3.3 IRI HATI DAN MENTALITI KETAM
Masyarakat KDM berkecenderungan untuk merasa cemburu akan kejayaan bangsa sendiri. Walaupun hasrat kita masing-masing ialah ingin berjaya, namun pada masa yang sama kita irihati dan seringkali memperkatakan perkara yang tidak baik terhadap rakan-rakan sebangsa yang agak berjaya daripada diri kita sendiri. Sebenarnya, samaada anda percaya atau tidak, orang kita begitu seronok sekali apabila melihat kejatuhan orang kita sendiri, terutama sekali para pemimpin kita, dengan mengatakan "kotoh", "kuroh", "itulah", 'kioh", "ino no konogi", untuk mengutuk kejatuhan pemimpin-pemimpin masyarakat kita.
Seringkali, mereka melakukan lebih daripada ungkapan kata-kata kutukan; mereka sering melakukan perbuatan yang menjatuhkan sesama sendiri umpama ketam yang menarik turun ketam yang lain yang cuba melepaskan diri keluar dari dalam bakul. Inilah yang berlaku dalam masyarakat kita. Kita sepatutnya mengubah "Mentaliti Ketam" ke "Mentaliti Kilau/Semut"
3.4 TERLALU SENSITIF DAN EMOSIONAL
Perkara ini juga merupakan masalah kita. Masyarakat KDM adalah insan amat peramah, baik hati dan mudah tersentuh tetapi sifat itu membuatkan orang-orang kita terlalu emosional. Sifat terlalu sensitif dan emosional membuatkan kita bertindak balas terhadap rangsangan luar secara membabi buta dan terlalu mengikut perasaan.
Kita selalu menyimpan perasaan geram dan itu menyebabkan kita mudah tersinggung lalu merajuk(mengaus/kumaus) dan dalam keadaan itu kita tidak dapat bertindak secara objektif. Kadangkala kita terlalu takut menyinggung perasaan orang lain sehingga kita tidak berani menyuarakan kepincangan-kepincangan masyarakat orang lain kerana hendak menjaga hati mereka. Ketika berhadapan dengan masalah atau dilema, kita selalunya di pihak yang rugi kerana kita terlalu membiarkan orang lain membuat kata putus.
3.5. FAKTOR BUDAYA DAN AMALAN TRADISI Amalan budaya kita juga merupakan faktor kemunduran dan kemiskinan kaum kita. Misalnya; budaya meminum minuman beralkohol, bermabuk-mabukan apa bila dilakukan secara berlebih-lebihan, sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan orang kita, adalah budaya yang membuang masa, melemahkan badan dan selalu melambatkan keupayaan mental kita.
Amalan hidup tradisional seperti hasrat dan matlamat pengeluaran, yang hanya bersifat "cukup makan" atau untuk keseronokan, dan tidak mengambilkira konsep menabung dan pelaburan, merugikan kita dari segi komersial dan ekonomi.
Keadaan yang sama juga timbul daripada proses pengeluaran yang mana kos marginal tidak ada. Sebaliknya, kos keseluruhan dan penyertaan maksimum dianggap sebagai faktor yang paling penting. Di dalam keadaan-keadaan seperti ini, masyarakat KDM tidak kehilangan daya saing dari segi ekonomi.
3.6 KEKURANGAN INSTITUSI DAN KEPIMPINAN YANG PROGRESIF
Satu lagi faktor ynag penting ialah kekurangan institusi dan kepimpinan yang progresif. Dari dahulu sehingga sekarang, masyarakat KDM hanya berminat untuk menjadi ahli-ahli politik, peniaga-peniaga kecil dan kakitangan kerajaan. Mereka berbuat demikian tanpa sokongan mana-mana institusi. Institusi yang mereka ketahui hanyalah parti-parti politik, persatuan-persatuan (atau persatuan kebudayaan) atau agensi-agensi kerajaan. Oleh sebab itu, mereka mengetahui bagaimana menyatu-padu dan bersatu-padu di antara mereka tetapi kekurangan sokongan institutional tentang bagaimana membawa perubahan dan perkembangan positif.
Pembentukan institusi terutamma sekali institusi yang progresif adalah satu keperluan asas untuk kemajuan dan pembangunan, kerana tanpa institusi berkenaan kita tidak dapat pergi jauh.
Kita perlukan penyelidikan dan analisis tentang keadaan dan masalah, kita juga perlukan jentera untuk menjana dan melaksnakan segala idea-idea. Kita juga memerlukan institusi latihan dan pembelajaran.
Selain dari itu, kita juga memerlukan pemimpin-pemimpin yang berpandangan jauh dan bukannya pemimpin yang masih bertaut kepada mimpi indah masa lampau apatah lagi mereka yang hanya menghabiskan tenaga dan sumber-sumber untuk menyalahkan dan mencari jalan menghukum atau mencela pemimpin-pemimpin yang lain. Kepimpinan secara mencela dan menghukum bukan cara penyelesaian mahupun cara menangani masalah kita.
Institusi-institusi dan pemimpin-pemimpin progresif adalah wajib sekiranya kita ingin maju. Hanya sedikit hahaja institusi yang ada hubung kait dengan KDM pada masa ini. KDI, Yayasan Murut(tidak aktif), Yayasan Pembangunan Insan(PDF), PACOS, INDEP, KCCI, dan sebilangan kecil organisasi komersial atau korporat yang dimiliki dan dijalankan oleh personaliti KDM.
Malangnya, institusi-institusi seumpama itu seringkali disalahtafsirkan dan tidak mendapat sokongan yang padu dari masyarakat kerana sikap cemburu dan mentaliti ketam, seperti kita jelaskan sebelum ini.
3.7 SIKAP Masyarakat KDM menderita daripada masalah sikap. Sikap negatif "tidak apa", "tunggu dan lihat", berlengah-lengah dan sebagainya. Ilustrasi kartun yang menunjukkan sikap dan cara masyarakat KDM melihat dunia luar(Lihat Lampiran)
4.0 MEMBENTUK MASA DEPAN
Setelah melihat masalah-masalah yang membelenggu kita maka kini marilah membincangkan bagaimana untuk meyelesaikan masalah-masalah kita dan memulakan usaha membentuk hari esok. Sebab-sebab yang telah dikenalpasti dan bincangkan di dalam kertas ini belum menyeluruh. Kita hanya membincangkan punca-punca utama. Bagaimanapun, ianya adalah memadai bagi tujuan perbincangan kali ini.
Langkah-langkah seterusnya
4.1 LANGKAH-LANGKAH TERTENTU PERLU DIAMBIL SEBELUM KITA DAPAT MERANGKA IDEA-IDEA TERTENTU DAN RANCANGAN-RANCANGAN UNTUK MASA DEPAN.
a) Langkah pertama ialah kesedaran dan penerimaan kelemahan dan realiti masyarakat kita pada masa kini.
a) Langkah kedua ialah memupuk keinginan untuk mencari jalan penyelesaian. Kita menyedari masalah kita dan mengetahui bahawa kita adalah sebahagian daripada masalah tetapi melainkan kita ada keinginan untuk mencari jalan penyelesaian, masalah itu tetap tidak berubah.
c) Langkah ketiga ialah berkomunikasi, runding, berkongsi dan berbincang. Inilah kita sedang kita usahakan sekarang. Tetapi, kita masih perlu banyak berkomunikasi !
d) Hanya selepas langkah-langkah di atas telah diambil barulah kita boleh bergerak ke arah membuat cadangan-cadangan tertentu. Langkah - langkah di bawah adalah dicadangkan;
4.2 KEMANAKAH ARAH KITA DARI SINI?
a) Membentuk Wawasan Bersama. Apa yang kita ingin jadi dan di mana kita hendak pergi dari sini?
b) Membentuk Jentera Bersama (a common vehicle) - Bagaimana kita boleh sampai ke situ?
c) Membentuk dan melaksanakan Strategi Bersama (common Strategi)
d) Menubuh dan menyokong Institusi-Institusi Progresif - membentuk mekanisma.
d) Merangka pelan tindakan yang strategik untuk menyelesaikan setiap permasalahan - politik, ekonomi dan sosio -budaya.
4.3 CADANGAN a) Ekonomi
o Memahami NEP, DEB dan polisi kerajaan yang lain dan tahu apa yang mereka tawarkan, khususnya kepada bumiputera, misalnya; lihat appendik a-g.
o Menubuh Pusat Penerangan Perniagaan atau Help Me Business Centre untuk masyarakat KDM.
o Membentuk Dewan Perniagaan KDM
o Membentuk jaringan atau rangkaian kerja (net work) untuk perhubungan antara satu dengan lain. Ini juga boleh dilakukan dengan menggunakan atau mengubah-suai rangkaian yang sedia ada.
o Berurus - niaga sesama sendiri.
o Buat tumpuan kepada penggunaan dan pemilikan tanah. (Cari jalan untuk menukarkan Tanah Native untuk ekonomi dan pengeluaran yang lebih baik)
o Beri pendidikan dan memodenkan para petani kita.
o Ubah sikap kita
o Tubuhkan pusat-pusat latihan dan penyelidikan.
b) Sosio-Budaya o Ajar dan cakap bahasa ibunda.
o Galakkan penulisan dalam bahasa KDM
o Tubuhkan Pusat Biodiversiti di KDI
o Perbanyakan penyelidikan dan pembangunan
o Lebih banyak usaha persefahaman
c) Politik o Bubar atau gabungkan semua parti politik yang dipimpin oleh KDM.
o Bersatu di bawah satu parti sahaja.
o Lupakan masa lampau. Tumpukan perhatian untuk sekarang dan untuk masa akan datang.
o Teruskan berkomunikasi
5.0 KESIMPULAN
Setiap masalah ada jalan penyelesaian. Kita memang bermasalah dan tidak gembira dengan keadaan sekarang. Adalah sangat baik kerana kita mengakui dan menerima masalah ini sebagai masalah kita bersama.
Adalah lebih juga kerana kita menyalahkan diri kita sendiri terhadap keadaan kita daripada menyalahkan orang lain. Dengan demikian kita akan bertanggungjawab terhadap keadaan masa depan kita sendiri. Kita harus belajar dari segala kesilapan kita dan terus berusaha memperbaiki diri sendiri dalam meniti jalan kearah esok yang lebih cerah. Mungkin kita memerlukan sedikit disiplin diri, perkongsian dan komunikasi sesama kita.
Kita perlu lebih objektif dan realistik tanpa terlalu mengorbankan nilai-nilai murni budaya kita. Sudah pasti kita memerlukan lebih banyak usaha untuk kebaikan kita sendiri dan kurangkan sikap pergantungan.
Kita harus menggunakan secara kreatif kekuatan kita sebagai sebuah masyarakat dan menukarkan kekuatan tersebut menjadi faedah politik dan sosio-ekonomi. Kita mesti memberi tumpuan yang lebih kepada sektor ekonomi dan pendidikan. Kita mesti saling mendorong antara satu sama lain demi untuk keluar dari belenggu kemiskinan. Kalau kita bersatu hati dan berganding bahu, seiring sejalan, impian ini tetap menjadi kenyataan.
Kredit kpada 1 Suara Sabah
0 comments:
Post a Comment