Kecergasan fizikal ialah kemampuan badan kita untuk melakukan sebarang aktiviti tanpa merasa letih dan masih mempunyai tenaga yang cukup untuk melakukan aktiviti kesenggangan. Kecergasan fizikal untuk kesihatan merangkumi aspek yang berkaitan dengan fungsi fisiologi dan psikologi manakala kecergasan fizikal untuk prestasi pula merujuk kepada keupayaan individu untuk bertanding dalam mana-mana aktiviti sukan dengan bertenaga, berkemahiran dan sebagainya.
Setiap orang boleh meningkatkan kecergasan fizikalnya sehingga ke tahap maksima. Oleh itu, untuk mencapai ke tahap kecergasan ini kita harus baik dan seimbang dalam setiap komponen kecergasan. Komponen kecergasan untuk kesihatan melibatkan kecergasan kardiovaskular, kekuatan dan daya tahan otot serta komposisi badan. Komponen kecergasan untuk perlakuan motor pula melibatkan kelajuan, keseimbangan, koordinasi, kuasa dan ketangkasan.
Program kecergasan yang seimbang adalah perlu bagi mencapai tahap kecergasan yang kita inginkan. Murid-murid di sekolah memerlukan tahap kecergasan yang tinggi untuk bertahan dalam jangka masa yang panjang dalam menumpuukan perhatian di sekolah. Justeru itu, guru Pendidikan Jasmani perlu memainkan peranan dalam memastikan tahap kecergasan murid-murid dimaksimakan agar mempunyai daya ketahanan untuk memberikan tumpuan sehingga tamat sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Perlaksanaan ujian kecergasan perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi menguji sejauh mana tahap kecergasan subjek yang dipilih. Selain daripada pemerolehan data dan maklumat mengenai tahap keupayaan kecergasan, pemilihan bateri-bateri ujian kecergasan fizikal juga perlu bersesuaian untuk mengukur tahap kecergasan subjek. Oleh itu, adalah penting untuk membuat perancangan yang rapi dari segi penyediaan bateri ujian, pentadbiran seterusnya penganalisaan data sebelum melakukan pengujian, pengukuran dan penilaian.
0 comments:
Post a Comment